Projek Peta Kampus Pelajar OKU UM merupakan sebuah projek yang
bermatlamat untuk menghasilkan satu peta kampus sebagai panduan kepada
mahasiswa/i kurang upaya di Universiti Malaya. Selain itu, Peta Kampus bagi Pelajar
OKU UM ini juga diwujudkan sebagai mengenal pasti kemudahan-kemudahan OKU yang
disediakan di duabelas lokasi yang terpilih. Di samping itu juga, peta kampus
ini boleh dijadikan sebagai rujukan bagi pihak luar (seperti bakal mahasiswa/i
kurang upaya, keluarga dan pelawat) dan pihak pentadbiran Universiti Malaya
bagi merangka pelan pembangunan yang lebih holistik dan inklusif.
1.1
Objektif
Pelbagai objektif
telah dirangka untuk dicapai menerusi projek ini dan berikut merupakan objektif
tersebut:
1.1.1
Mengenal pasti
kemudahan-kemudahan OKU yang disediakan oleh pihak Universiti Malaya di
lokasi-lokasi terpilih.
1.1.2
Mengenal
pasti tahap aksesibiliti di lokasi-lokasi terpilih serta tahap aksesibiliti
antara satu lokasi ke satu lokasi yang lain.
1.1.3
Mendokumentasikan
dalam bentuk tulisan, gambar, video dan peta, lokasi boleh akses &
kemudahan OKU.
1.1.4
Menjadi
rujukan kepada para pengguna, khususnya dalam kalangan mahasiswa/i kurang upaya
di Universiti Malaya untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi dengan
lebih mudah dan selamat.
1.1.5
Menjadi
rujukan primer kepada pihak pentadbiran Universiti Malaya dalam merangka serta
melaksanakan pembangunan infrastruktur yang lebih holistik dan inklusif.
1.2
Justifikasi
Projek Peta Kampus bagi Pelajar OKU UM ini dilihat sangat penting kerana
dengan adanya peta kampus yang komprehensif sebegini akan dapat membantu para
mahasiswa kurang upaya di Universiti Malaya bergerak dari satu lokasi ke satu
lokasi dengan lebih mudah serta selamat. Peta Kampus bagi Pelajar OKU UM ini
merupakan antara cara yang paling berkesan dalam mengaudit tahap aksesibiliti
di Universiti Malaya. Hal ini bukan sahaja penting dalam menambahkan atau
menambah baik kemudahan-kemudahan OKU di satu-satu lokasi, malah membantu pihak
pentadbiran Universiti Malaya mendapat gambaran yang jelas dalam merangka serta
melaksanakan pembangunan infrastruktur yang bersifat lebih holistik dan
inklusif agar kebajikan dan keselamatan mahasiswa/i kurang upaya di Universiti
Perdana ini terjamin.